OWNER MEMBERS

klik klik en nuff


ShoutMix chat widget

KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN

BAB 10: KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN


10.1     PENGENALAN

Mana-mana syarikat yang wujud inginkan keuntungan. Mereka tidak mahu beroperasi dalam kerugian. Namun begitu, dalam keghairahan pihak majikan untuk mengaut keuntungan yang tinggi aspek keselamatan pekerja diketepikan. Kita biasa membaca berita pekerja putus tangan, terjatuh banguan, mengalami sakit mata dan bermacam cerita lagi. Maka dengan itu, pihak kerajaan telah membentuk sebuah agensi kerajaan yang bertindak sebagai agensi pelaksana bagi hal-hal berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerja. Agensi ini ialah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang berada di bawah Kementerian Sumber Manusia manakala agensi penyelidikan pula ialah Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan. Akta-akta juga dibentuk untuk memastikan semua individu sama ada yang bekerja atau sesiapa sahaja yang berada di premis pekerjaan sentiasa dilindungi dari bahaya  kecederaan dan kemalangan industri. Akta-akta tersebut ialah Akta Kilang dan Mesin 1967, Akta Kualiti Persekitaran 1974, dan Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994. Bab ini akan membincangkan tentang aspek kesihatan dan keselamatan pekerjaan. Perbezaan di antara keselamatan dan kesihatan pekerjaann, punca-punca kemalangan, langkah-langkah pencegahan akan dibincangkan dengan lebih mendalam dalam bab ini.



10.2     PERBEZAAN DI ANTARA KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN

Apakah perbezaan di antara keselamatan dan kesihatan pekerjaan? Sebelum itu, kita hendaklah terlebih dahulu memahami apa yang dimaksudkan dengan hazad. Hazad adalah suatu keadaan yang berpotensi menyebabkan kecederaan individu, merosakkan peralatan dan strukturnya, kehilangan perkakasan, serta boleh mengurangkan keupayaan pekerja.

Hazad Keselamatan adalah segala aspek persekitaran kerja yang mempunyai potensi berlakunya kemalangan dan kecederaan secara serta merta/ spontan terhadap pekerja seperti kehilangan penglihatan yang mengejut, terputus jari atau tangan. Kebiasaannya hazad keselamatan dikaitkan dengan peralatan dan mesin yang tidak selamat digunakan, keadaan tempat kerja yang tidak memuaskan, pendedahan kepada bahan kimia dan sebagainya.

Manakala Hazad Kesihatan ialah segala aspek persekitaran kerja yang secara perlahan-lahan yang mengakibatkan kesan buruk terhadap kesihatan pekerja. Ketegangan yang berterusan akibat kerja yang terlalu membebankan, mendapat pekak, kerana terlalu lama terdedah kepada tempat kerja yang terlalu bising, sakit dada, dan kekaburan mata akibat terdedah kepada bahan kimia bahaya ialah antara penyakit emosi dan fizikal yang disebabkan oleh tugas. Sebaliknya penyakit ini akan menyerang secara perlahan-lahan dan kesannya hanya akan dapat dilihat selepas 10 tahun atau 15 tahun. Oleh itu, pengurusan kesihatan pekerja ialah melindungi pekerja daripada gangguan emosi dan penyakit fizikal yang disebabkan oleh pekerjaan yang dilakukan oleh pekerja. Pada kebiasaannya aspek kesihatan dipandang ringan oleh sebahagian majikan berbanding aspek keselamatan kerana kesan penyakit-penyakit industri ini tidak datang secara tiba-tiba.

Hak asasi seseorang pekerja adalah untuk mendapat perlindungan keselamatan dan kesihatan semasa di tempat kerja. Berdasarkan maklumat daripada Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO), lebih 1.2 juta pekerja tidak menikmati hak asasi ini disebabkan mereka terdedah kepada kemalangan dan penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan. Pada sidang APOSHO ke-16 di Mauritius, ILO telah memberi gambaran yang membimbangkan iaitu: 

  • Lebih 250 juta kemalangan berlaku setiap tahun yang melibatkan pekerja di seluruh dunia.
  • Lebih 160 juta pekerja jatuh sakit setiap tahun akibat hazard di tempat kerja.
  • Lebih 1.2 juta kematian setiap tahun disebabkan oleh kemalangan dan penyakit berkaitan pekerjaan.
  • Lebih 10 juta pekerja menderita kecederaan dan hilangupaya kekal serta kehilangan punca pendapatan.

Di Malaysia, kerajaan telah melaksanakan satu usaha yang berterusan terhadap pencapaian persekitaran kerja yang selamat dan sihat. Pelaksanaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994, usaha giat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan inisiatif latihan oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) merupakan usaha yang diambil untuk menangani isu kemalangan dan penyakit di tempat kerja. 

Perkeso melaporkan sebanyak 92,074 kemalangan industri telah berlaku pada tahun 1999 berbanding 85,338 kes pada 1998 dan 86,589 pada 1997. Kadar kemalangan bagi setiap 10,000 pekerja juga telah menurun dari 260 pada tahun 1996 kepada 207 pada tahun 1997 dan 197 pada tahun 1998. Fakta yang paling membimbangkan adalah kenaikan jumlah kematian pada tahun 1996 dan 1997 iaitu sebanyak 1,207 dan 1,307 kes masing-masing. 

Pada tahun 1999, Malaysia dianggarkan telah menanggung kos tidak ketara sebanyak RM 1.9 hingga RM 3.0 billion akibat kemalangan yang melibatkan pekerja di tempat kerja. Pembayaran yang dibuat oleh Perkeso bagi kes hilangupaya kekal dan sementara, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, elaun rawatan perubatan, pencen ilat dan pencen penakat berjumlah RM 452 juta pada tahun sebelumnya. 

Selaras dengan pelaksanaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,  pihak majikan dan pengurusan atasan sesebuah organisasi  bertanggungjawab mencegah risiko berkaitan Keselamatan dan Kesihatan di tempat kerja walaupun kerajaan telah mengadakan pelbagai usaha untuk mengurangkan jumlah kemalangan yang melibatkan pekerjaOleh kerana isu-isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mempunyai hubungan langsung dengan kemajuan dan prestasi sesebuah syarikat, maka setiap majikan perlu menyediakan persekitaran kerja yang selamat melalui pengawalan, pendedahan, pendidikan dan latihan mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. 


Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 menyarankan agar program latihan yang bersesuaian dapat digubal untuk pekerja sebagai langkah  mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja. NIOSH telah ditubuhkan pada Disember 1992 bagi memenuhi keperluan latihan dan pendidikan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan. NIOSH telah memberi sumbangan ke arah usaha meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja melalui penggubalan kurikulum dan program latihan untuk pekerja, majikan dan mereka yang bertanggungjawab secara langsung atau tidak langsung terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. 

Sistem pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang baik juga mampu:

  • Mengurangkan perbelanjaan yang tidak wajar seperti penggunaan tenaga kerja dan sumber-sumber lain terutama langkah-langkah keselamatan yang tidak produktif.
  • Memastikan setiap majikan menubuhkan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
  • Mengubah halacara yang lebih proaktif iaitu mengawal atau mencegah dari berlakunya kemalangan di tempat kerja.

Tanggapan negatif pihak majikan dan pekerja terhadap pelaksanaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 perlulah diubah di mana mereka perlu mematuhi segala prosedur kerja yang telah ditetapkan secara konsisten. Ini adalah kerana aspek kesihatan bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan dan bukanlah di bawah tanggungjawab kerajaan sahaja malah ia juga menjadi tanggungjawab majikan dan pekerja bagi menjamin keharmonian sejagat. 

Sejajar dengan penubuhannya, NIOSH juga telah menyediakan beberapa perkhidmatan,  antaranya: 

  • Menggubal kurikulum kursus baru dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam pelbagai industri.
  • Menyediakan program latihan kepada semua pihak yang terlibat.
  • Menyediakan khidmat rundingcara bagi membantu industri yang bermasalah berkaitan isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
  • Menyediakan khidmat pemonitoran dan penyampelan dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
  • Menyediakan bahan penyebaran berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan seperti poster, laman web, buletin, perkhidmatan perpustakaan dan video/cd.
  • Melaksanakan aktiviti pembangunan dan penyelidikan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Oleh yang demikian, aspek keselamatan dan kesihatan haruslah dijadikan satu budaya di tempat kerja. Pihak pengurusan bertanggungjawab mengubah sikap pekerja dengan memberi keutamaan terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Selaras dengan hasrat kerajaan, pihak majikan dan pekerja perlulah mengambil bahagian dalam aspek keselamatan dan kesihatan bagi mengurangkan jumlah kemalangan yang berlaku di tempat kerja. Maka dengan ini akan tercapai hasrat serta matlamat kerajaan dalam merealisasikan hasratnya untuk mengurangkan jumlah kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan seterusnya dapat menaikkan nama Malaysia di serata dunia. Secara tidak langsung, budaya kerja yang selamat dan sihat mampu memberi daya saing yang mapan di era globalisasi ini.  


10.3     KESELAMATAN PEKERJAAN

Apabila berlaku kemalangan di tempat kerja, kedua-dua pihak majikan dan pekerja akan menerima kesannya. Pekerja akan hilang upaya untuk melakukan kerja atau tidak mampu untuk bekerja pada tahap yang paing optimum. Organisasi juga menghadapi masalah seperti peningkatan premium insurans kesihatan, penggantian pekerja yang menghadapi kemalangan, pembayaran gantirugi kepada pekerja, mendapat reputasi sebagai majikan yang tidak mementingkan aspek keselamatan dan kerap menerima lawatan oleh pegawai-pegawai keselamatan dari Kementerian Sumber Manusia. Berikut merupakan contoh kemalangan yang berlaku di tempat kerja pada tahun 2006.

Tajuk            :  Kain tudung terbelit pada conveyor
Tempat         : Kilang, Negeri Sembilan
Tarikh           : 03 Ogos 2006

Ringkasan kemalangan:
Seorang pekerja kilang maut apabila kain tudungnya telah terbelit pada `shaft conveyor’ lalu menjerut leher mangsa. Ketika kejadian mangsa sedang membuat kerja-kerja penyusunan produk di atas `roller pallet’ dan berhampiran conveyor yang sedang bergerak apabila tudung yang dipakainya terbelit. Mangsa didapati telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Faktor-faktor penyebab:
Kain tudung yang dipakai oleh mangsa telah berpintal pada `shaft conveyor’ lalu menjerut leher mangsa.
 
Hasil pemerhatian:
Jentera tersebut tidak diadang menyebabkan pekerja terdedah pada bahaya.
 
Klasifikasi kemalangan:
Tersepit di antara objek.
 
Tajuk            :  Tergelincir ke dalam lubang`shaft’ 
Tempat         : Bank, Kuala Lumpur
Tarikh           : 16 Ogos 2006
   
Ringkasan kemalangan:
Seorang pekerja kontraktor maut apabila tergelincir dan jatuh dari aras 18 ke aras 11 sebuah bank. Ketika kejadian mangsa sedang melakukan penyelenggaraan pada mesin `telemail lift’ yang berfungsi sebagai menghantar surat ke setiap aras bangunan tersebut. Mangsa telah tergelincir dan jatuh ke dalam lubang `shaft’ tersebut. Mangsa didapati telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Faktor-faktor penyebab:
Mangsa telah tergelincir lalu terjatuh semasa membuat kerja-kerja penyelenggaraan tersebut.
 
Hasil pemerhatian:
Tiada prosedur kerja selamat bagi kerja –kerja penyelenggaraan tersebut.
 
Klasifikasi kemalangan: Terjatuh.

Tajuk            :  Ditimpa `Rubbish Chute’
Tempat         : Tapakbina, Kuala Lumpur
Tarikh           : 24 Julai 2006
   

Ringkasan kemalangan:
Seorang pekerja tapak bina maut apabila `rubbish chute’ sepanjang 6 meter telah tumbang dan menimpa mangsa. Ketika kejadian mangsa sedang membuat kerja-kerja pembersihan di bawah kawasan pemunggahan bahan buangan dari`rubbish chute’ tersebut. Mangsa telah ditimpa `rubbish chute’ yang penuh dengan bahan buangan yang tersumbat. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Faktor-faktor penyebab:
Mangsa telah ditimpa `rubbish chute’ yang dipenuhi dengan bahan buangan yang tersumbat.

Hasil pemerhatian:
Tiada penyelenggaraan yang sempurna dari majikan menyebabkan kemalangan tersebut berlaku.
 
Klasifikasi kemalangan:  Ditimpa objek.
 



Tajuk            :  Terkena kejutan elektrik
Tempat         : Kilang, Kedah Darul Aman
Tarikh           : 23 Julai 2006
   
Ringkasan kemalangan:
Seorang pekerja kilang maut apabila terkena kejutan elektrik ketika menjalankan kerja mengecat motor mesin bruckner stenter dan kerja-kerja pembersihan di antara dinding kilang dan mesin bruckner stenter. Ketika kejadian mangsa sedang membuat kerja pembersihan di bahagian dinding kilang dan mesin bruckner stenter. Semasa membuat kerja pembersihan tersebut mangsa telah memegang besi bar yang bersentuhan dengan wayar elektrik menyebabkan mangsa terkena kejutan elektrik. Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Kulim dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.

Faktor-faktor penyebab:
Mangsa telah memegang bar besi yang bersambungan dengan wayar elektrik.

Hasil pemerhatian:
Tiada prosedur kerja selamat yang dijalankan oleh majikan berhubung dengan kerja-kerja tersebut.
 
Klasifikasi kemalangan:  Terdedah kepada arus elektrik.
 



10.4     KESIHATAN PEKERJAAN

Selain daripada masalah keselamatan di tempat kerja kerja yang disebabkan oleh kemalangan atau kecederaan, pekerja juga boleh ditimpa penyakit khidmat atau penyakit pekerjaan. Penyakit khidmat ini dikaitkan dengan kesihatan pekerjaan. Mengurus kesihatan pekerjaan bermaksud melindungi pekerja dari penyakit fizikal atau emosi yang disebabkan oleh pekerjaan. Penyakit khidmat adalah gangguan kepada keupayaan mental, emosi, dan fungsi-fungsi normal seseorang yang disorong oleh faktor pekerjan. Contoh-contoh penyakit khidmat ialah penyakit paru-paru kerana terdedah kepada habuk-habuk, pekak kerana terdedah kepada bunyi mesin-mesin yang kuat pada tempoh yang lama, kanser penyakit kulit, ketegangan kerja dan ketandusan upaya. Penyakit khidmat adalah sukar dikesan. Adalah sesuatu yang merugikan apabila syarikat atau industri menghabiskan wang yang banyak untuk membayar bil-bil perubatan dan insurans tanpa menyedari bahawa penyakit ini boleh dicegah atau dikurangkan.

Stres adalah contoh penyakit khidmat yang banyak menyerang pekerja tetapi tidak dipandang serius oleh majikan. Ia tidak dianggap sebagai penyakit industri oleh majikan. Perlu dinyatakan bahawa stres boleh meningkatkan prestasi pekerja jika ia berada pada tahap yang optimum. Namun begitu jika ia berterusan pada suatu tempoh masa yang  lama, stres akan memberi kesan negatif pada prestasi pekerja. Kajian yang dijalankan oleh penyelidik telah mengaitkan stres dengan kecederaan fizikal yang kerap, penyakit jantung, sengal tulang, lelah dan gastrik adalah penyebab-penyebab utama kepada ketidakupayaan pekerja (French, 1994).

Terdapat berbagai-bagai lagi penyakit khidmat yang wujud dalam organisasi. Antara contoh penyakit khidmat yang lain ialah AIDS, penyalahgunaan dadah, merokok di tempat kerja, keganasan di tempat kerja, dan kesan skrin  terminal komputer kepada pengguna. Berhadapan dengan komputer secara berterusan dalam tempoh yang lama boleh menjejaskan kesihatan pekerja terutamanya wanita mengandung. Di antara program kesihatan yang boleh diambil oleh pihak pengurusan ialah:

v  Memberi kaunseling kepada pekerja untuk berhenti merokok dan menghindari arak.
v  Menggalakkan pekerja untuk mengambil rehat yang secukupnya.
v  Memberikan kesedaran keada pekerja tentang pentingnya penjagaan kesihatan melalui ceramah-ceramah tentang pemakanan, pengurangan berat badan, pengurusan ketegangan dan melakukan senaman.
v  Mengadakan program kesihatan seperti senaman bersama-sama setiap pagi, senamrobik, bermain badminton dan sebagainya.
v  Membuat pemeriksaan kesihatan secara berterusan kepada pekerja terutamanya yang terdedah kepada persekitaran kerja yang merbahaya seperti bahan kimia.
v  Mengadakan Program Bantuan Pekerja seperti memberi kaunseling kepada pekerja yang bermasalah.


10.5     PUNCA-PUNCA KEMALANGAN DI TEMPAT KERJA

PUNCA
CONTOH
Pekerjaan
  • Mesin rosak- gagal berfungsi dengan baik
  • Alat yang sudah terlalu lama – gagal berfungsi dnegan baik
  • Pekerjaan yang bahaya- bekerja di terowong bawah tanah, mengendalikan bahan-bahan kimia.


  • Tidak menumpukan sepenuh perhatian kepada pekerjaan
  • Sikap sambil lewa
  • Meminum minuman keras atau mengambil dadah
  • Kesilapan menilai kelajuan objek yang bergerak
  • Kurang pengalaman
  • Terlalu yakin kerana mempunyai banyak pengalaman
  • Tahap penglihatan dan pendengaran yang lemah
  • Tidak cekap menggunakan peralatan- tiada latihan
  • Melanggar arahan keselamatan seperti memakai topi keledar atau cermin mata
  • Umur terlalu muda atau terlalu tua
  • Mempunyai masalah peribadi –tidak dapat memberi sepenuh perhatian kepada kerja


  • Pendedahan kepada suhu yang terlalu tinggi, peralatan elektrik, dan bahan-bahan kimia
  • Tempat yang terlalu bising
  • Terdedah kepada asap dan debu
  • Jangkitan


  • Tahap penyeliaan yang tidak memuaskan
  • Tidak menyediakan alatan keselamatan kepada pekerja
  • Tidak memberi latihan penggunaan alat keselamatan kepada pekerja
  • Tidak tegas dalam penguatkuasaan peraturan dan polisi keselamatan kepada para pekerja
  • Tidak mengendahkan aduan daripada pekerja
  • Menganggap aspek keselamatan sebagai perkara remeh
  • Menganggap bahawa program keselamatan akan memberikan beban kepada organisasi.



10.6     PIHAK DAN INDIVIDU YANG TERLIBAT DALAM AMALAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN


Pihak Yang Bertanggungjawab
Peranan
Majikan

  • Bagi komitmen yg tinggi terhadap pengamalan pengurusan keselamatan & kesihatan pekerjaan selaras dengan akta dan peraturan.
  • Membentuk polisi keselamatan dan kesihatan
  • Membuat penyiasatan segera terhadap kemalangan yang berlaku
  • Menyediakan peralatan perlindungan peribadi seperti topi keledar, sarung tangan dan sebagainya.
  • Mengadakan kempen-kempen kesedaran untuk mengurangkan kemalangan perlu diadakan dari semas ake semasa.
  • Memastikan persekitaran tempat kerja sentiasa selamat.
  • Mengadakan sistem pekerjaan yang selamat.
  • Membuat prosedur melapor dan menyiasat kemalangan
  • Membentuk dan menyediakan latihan keselamatan.
  • Memilih pekerja yang cekap
  • System Insentif. Pekerja atau jabatan yang boleh mengelakkan kemalangan di temapt kerja akan diberikan ganjaran.
  • Bekerjasama dengan pemeriksa-pemeriksa kerajaan.
  • Menyediakan pekaian dan peralatan keselamatan.
  • Menetapkan kawasan bekerja dan bukan kawsan kerja.
  • Mengadakan amaran-amaran yang jelas seperti “AWAS”, ‘KAWASAN LARANGAN”, dan “DILARANG MEROKOK”
  • Memberi cuti dan rehat  yang mencukupi kepada pekerja-pekerja yang memerlukan rehat yang lebih berbanding orang lain.
  • Mendapatkan input dari pekerja tentang masalah mereka
  • Mendapatkan maklumbalas dari pekerja setiap kali berlaku kemalangan.

Pekerja

  • Patuhi segala peraturan dan prosedur yang berkaitan dengan pengurusan keselamatan & kesihatan.
  • Bekerjasama dengan majikan
  • Membentuk sikap yang mementingkan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja
  • Segera membuat laporan sekiranya peralatan dan mesin rosak.
  • Tidak menggunakan sebarang peralatan yang rosak yang boleh membahayakan keselamatan pekerja.
           

Kesatuan Sekerja
  • Boleh menyuarakan dan memperjuangkan hak-hak dalam aspek pengurusan dan keselamatan pekerjaan.
  • Terlibat sebagai wakil pekerja dalam jawatankuasa keselamatan dan kesihatan organisasi.

Kerajaan

  • Gubal peraturan dan perundangan.
  • Lakukan penguatkuasaan terhadap undang2 & peraturan.


Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan

  • Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Seksyen 30 (a) mewajibkan syarikat-syarikat yang mempunyai 40 orang atau lebih pekerja menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan. Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk mengkaji dan mengamalkan semua langkah yang dapat memastikan keselamatan dan kesihatan orang di temapat kerja.




10.7  KESIMPULAN

Aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah sangat penting dan perlu perhatian serius oleh organisasi. Prestasi dan produktiviti organisasi akan menurun jika pekerja selalu mendapat kemalangan industri atau menghadapi masalah kesihatan. Imej syarikat sebagai majikan yang prihatin akan terjejas. Motivasi pekerja akan menurun jika kebajikan mereka tidak diambil berat oleh pihak pengurusan.

No comments:

Post a Comment